Sunday, 16 August 2015

                    SELAMAT TINGGAL KEJOHANAN DUNIA 


MUNGKIN tiada lagi peluang bagi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merealisasikan impiannya dalam merangkul kejuaraan dunia pertama sepanjang kariernya selepas ini.

Ini kerana, selepas kecundang buat kali kedua di tangan Chen Long, semalam, Kejohanan Dunia akan menjadi penampilan terakhir buat pemain berusia 33 tahun itu kerana dia mungkin akan bersara selepas Sukan Olimpik 2016 di Rio De Jeniero, Brazil memandangkan tiada Kejohanan Dunia diadakan pada tahun diadakan Sukan Olimpik.

Mengimbas kembali perlawanan semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu bergelut untuk memerangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London berkenaan apabila pada satu ketika ketinggalan kerana beberapa pukulannya keluar selain kandas di jaring.

Chong Wei jelas tertekan sebaik set kedua bermula. Banyak kesilapan dilakukan sehingga beliau mudah ditinggalkan Chen Long 7-1 seterusnya 12-5 dan 13-9.

Selepas itu, Chong Wei memperkemaskan permainannya dan beliau berjaya merapatkan jurang 19-15 dan 20-16, namun ia terlalu lewat.

Dalam kedudukan genting itu, tiada tekanan buat Chen Long sementara Chong Wei menunjukkan bermacam-macam aksi untuk menyelamatkan hantaran.

Bagaimanapun ketangkasan Chen Long membolehkan beliau menamatkan permainan dengan kedudukan 21-17 dalam masa satu jam lebih.

Kekalahan itu sekali gus mengulangi skrip sama yang berlaku pada tahun lepas apabila turut tewas kepada Chen Long di pentas final.

Nampaknya, penampilan kali keempat di pentas final masih belum membawa tuah buat Chong Wei yang sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun itu merekodkan tiga gelaran naib juara iaitu pada 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2014 di Copenhagen (ditarik balik kerana kes doping) dalam sembilan penampilannya di Kejohanan Dunia sejak 2005.

Dan ini bermakna sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977, belum ada seorang pun pemain perseorangan negara muncul juara, malah Chong Wei juga terus kempunan untuk merangkul trofi seperti di beberapa kejohanan lain termasuk Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Sudirman dan Sukan Asia.

Sementara itu, bagi Chen Long, kemenangan ke atas Chong Wei menyaksikan dia berjaya mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada edisi 2014 di Copenhagen.

'Sudah buat yang terbaik'

Chong Wei berkata, beliau sudah memberikan persembahan terbaik, namun Chen Long lebih bijak mengatur strategi selain mengetahui corak permainannya.

“Saya lihat Chen Long bermain agak agresif pada kali ini dan saya cuba mengelak untuk melakukan kesilapan namun ia tetap terjadi," katanya.

Sementara itu, Chen Long berkata, kejayaan itu amat berharga bagi menyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan penting khususnya buruan emas Sukan Olimpik, tahun hadapan.

“Saya amat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang sentiasa memberi kata-kata semangat," katanya.

No comments:

Post a Comment